MONUMEN itu sedang bergerak


NAMA sahabat-sahabatnya bukan sahaja dekat dalam hati Shaun Clark malah terus terpahat di badannya.

Bekas tentera itu tidak ubah seperti sebuah monumen bergerak. Beliau bangga menjadi ibarat sebuah memorial bergerak yang membawa nama tentera Britain yang mati di medan peperangan.

Kesemua nama-nama itu ialah anggota tentera yang terkorban dalam peperangan di Afghanistan.

Jika dihitung satu persatu, terdapat kira-kira 383 nama anggota tentera yang maut dicacah dalam bentuk tatu pada bahagian badannya.

Ia termasuklah di bahagian dada, belakang dan kedua-dua belah kakinya.

"Saya ada ramai kawan yang berkhidmat di Afghanistan dan ada antara mereka yang kini masih berkhidmat di sana.

"Saya mahu melakukan sesuatu agar orang ramai sedar bahawa perang masih berlaku di Afghanistan. Ia lebih berbaloi berbanding saya menyumbangkan tenaga dengan berjalan kaki atau melakukan terjunan udara semata-mata untuk menyatakan sumbangan," kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Clark kini bekerja sebagai pegawai keselamatan di sebuah mahkamah di England menyertai Batalion Light Infantry Regiment kelapan pada 1989 hingga 1996.

Dia mula mengukir tatu tersebut ketika sambutan Hari Peringatan pada 2009 sedikit demi sedikit sehingga lebih 300 nama terukir pada tubuhnya.

Clark yang berusia 45 tahun itu mula membuat tatu sejak tahun 2009.

Sempena sambutan Hari Peringatan pada tahun ini, Clark telah menambah 40 lagi nama lain pada kedua-dua belah kakinya selepas pukul 11 pagi pada 11 November lalu.

Baru-baru ini, beliau mengunjungi sebuah pusat tatu, Doncaster's Fantasy Studio berdekatan rumahnya di England.

Di situ, seorang artis tatu, Kevin Kent berkerja selama hampir dua jam untuk mengukir 40 nama tersebut.

Biarpun sakit, Clark rela untuk diperlakukan sedemikian.

Dia tidak menyangka bahwa ada pihak yang sanggup menderma. Beliau berjaya mengumpul kira-kira £4,500 (RM22,470) untuk diisi ke dalam tabung kebajikan Help for Heroes.
Clark kini tinggal bersama isterinya, Mandy, 44, dan dua orang anak iaitu Peter, 22, dan Robert, 19 di Rossington, Doncaster, England.

Jelas Clark, pada mulanya kesemua ahli keluarganya termasuk isteri dan anak-anaknya menganggap tindakannya itu sebagai satu perbuatan yang gila.

"Semua mereka mengatakan saya gila. Sejak 2009 sudah ada lebih 300 nama yang terpahat pada badan saya ini. Saya puas dan ingin melakukannya lagi," katanya.

"Untuk menyiapkan kesemuanya, ia mengambil masa lebih daripada lima jam dan sangat menyakitkan tetapi tindakan itu berbaloi," kata Clark.

Biarpun gembira membuat tatu tersebut pada badannya, jauh di sudut hati lelaki itu dia berasa sedih setiap kali ada tatu tertulis nama baharu tentera Britain yang terkorban di badannya.

"Saya akan bersedih kerana jumlah nama-nama itu akan bertambah pada masa akan datang," katanya dalam nada sugul.

Biarpun memiliki tubuh badan yang tinggi dan gempal, Clark sedar bahawa nama mereka yang gugur akan terus bertambah sehingga tiada lagi ruang untuk diisi di badannya.

Apa yang menggembirakannya apabila anak lelakinya, Peter akan meneruskan usahanya itu dengan menyumbangkan tubuh badannya untuk dijadikan monumen baharu.

"Saya sudah membuat perancangan. Anak saya akan meneruskan mengukir nama-nama itu pada badannya apabila tidak cukup ruang lagi pada badan saya.

"Apabila kematian tentera bertambah, Peter akan mengambil alih tempat saya," katanya lagi.

Clark sedar bahawa kelakuan peliknya itu memberi kesan yang besar kepada kehidupannya. Privasi kini seakan menjauh daripada hidupnya.

Dia kini menjadi tumpuan buat mereka yang berminat untuk melihat nama-nama tersebut.

Itu membuatkan Clark tidak ubah seperti sebuah monumen bergerak.

"Selepas menjadi perhatian orang ramai, saya menghadapi masalah lain pula.

"Bayangkan saya perlu menyelak baju apabila ada yang meminta untuk melihat tatu tersebut," katanya.

Ujarnya, kisah pelik beliau telah merebak sejak beberapa tahun lalu di England. Sejak itu ramailah yang meminta untuk melihat tatu tersebut.

"Ada juga di kalangan hakim dan peguam turut meminta izin untuk melihat tatu ini," katanya sambil ketawa.

sumber :www.kosmo.com.my

0 comments: